Friday 11 October 2013

Petikan Akhbar Utusan Malaysia mengenai Quinara Al Safir.


HOTEL Quinara Al-Safir di Jalan Tok Jembal, Kuala Terengganu dan milik anak tempatan memberi pilihan kepada pengunjung yang mahu lari dari hiruk-pikuk bandar raya.

QUINARA Al-Safir, namanya agak ganjil tetapi menarik bagi sebuah resort di pinggir bandar raya Kuala Terengganu yang muncul di kawasan tanah paya di perkampungan agak sunyi.

Ia adalah gabungan nama paya Kuing di pinggir bandar raya Kuala Terengganu di mana resort yang baru setahun beroperasi di samping nama pasangan suami isteri selaku pengusaha bagi menampung keperluan musafir.

Ia satu-satunya resort bertaraf tiga bintang dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang pesat membangun dan memberikan pilihan kepada pelanggan yang selama ini tertumpu di hotel dan resort di pusat bandar raya.

Jika menginap di pusat bandar raya, mereka mungkin mengambil masa 20 minit untuk berulang-alik ke kawasan itu dan mungkin berdepan dengan kesesakan terutama di Jambatan Sultan Mahmud pada waktu puncak.

Quinara Al-Safir mendekatkan mereka yang berurusan di kawasan ini dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai golongan pengunjung dengan harga bilik yang cukup sederhana.

Kedudukan hotel milik anak tempatan di Kampung Tok Jembal ini cukup strategik, bersebelahan dengan Kelab Golf Kuala Terengganu jika ingin melayani hobi bersama sukan itu.

Juga cuma lima minit perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud jika menanti waktu untuk berlepas atau menunggu ketibaan rakan dan keluarga serta ke pantai peranginan Teluk Ketapang atau Pantai Tok Jembal untuk bersantai dan menjamu selera.

Hanya lapan atau 10 minit memandu jika anda ingin ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kawasan perindustrian.

Lokasi resort ini di kawasan perkampungan yang masih dikelilingi alam semulajadi malah pelanggan masih boleh menjamah kabus pagi yang jarang-jarang kelihatan di bandar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0616&sec=Pelancongan&pg=pl_02.htm#ixzz2hSgg7xCI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment